Popular Posts

Thursday, November 18, 2010

Keruntuhan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam semakin meruncing.


* Name : Mohd.Fazly  b Bakyan
*  Matrix No : KJC 0950288
*  Article Title : Keruntuhan Institusi Kekeluargaan di Kalangan Masyarakat Islam  Semakin Meruncing. Bagaimanakah Islam Memberi Penyelesaian Terhadap Perkara Ini
*   Section: Section 5
*  Url Blog : hambarendahdiri.blogspot.com
*  Lecture Name: Muhammad Munib b Ahmad
     Submission Date : 19 November,2010




                 



Keruntuhan institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam semakin meruncing.



                    Keluarga adalah sebuah institusi sosial asas yang memainkan peranan penting di
dalam membentuk sahsiah dan perilaku seseorang individu. Perkembangan pemikiran,
emosi dan juga tingkahlaku seseorang bermula di dalam suasana kekeluargaan sejak
peringkat bayi lagi. Pembentukan moral anak-anak diperolehi melalui peniruan dan boleh
juga dipelajari secara formal atau tidak formal.

Setiap keluarga bermula daripada perkahwinan yang sah diantara lelaki dan perempuan.Setiap keluarga juga mempunyai nilai dan maruah yang dipertahankan melalui peranan yang diharapkan daripada ahli-ahli keluarga. Keharmonian berkeluarga dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga. Hubungan ini merangkumi perhubungan spiritual (agama), emosi seperti kasih sayang, sifat hormat-menghormati,bertanggungjawab, berpendidikan serta sifat-sifat kebendaan (pakaian, makanan, rumah dan sebagainya). Oleh itu, institusi keluarga adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat rohani dan jasmaninya, lagi berilmu dan bermoral.

Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bosia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.

Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.

                  Dalam perkembangan akhlak seseorang boleh dibahgikan tiga tahap iaitu. Dalam peringkat pertama kanak-kanak mula membentuk keyakinan kepada persekitarannya. Proses ini amat bergantung kepada belaian ibu yang berterusan di mana ibu memenuhi keperluan emosi dan fisiologinya. Hubungan ibu dan anak dalam peringkat ini perlulah dijaga dan perkukuhkan sehingga kanak-kanak mempunyai keyakinan kepada lingkungan dan alam sekitarnya. Anak-anak yang tidak memperolehi perhatian serta kasih sayang ibu dalam tahap ini perkembangan emosional dan fizikalnya mungkin akan terbantut. Anak tersebut kelihatan lebih kecil dari umurnya yang sebenar.

                Dalam peringkat 18 bulan hingga 3 tahun kanak-kanak mula beralih daripada bersandarkan kepada ibu semata-mata. Kanak-kanak mula membentuk keperibadiannya tersendiri, di mana ia bertarung untuk memastikan pilihannya sendiri. Dalam peringkat ini ibu wajar memberikan penuh perhatian. Kegagalan kanak-kanak tersebut dalam merealisasikan kemandiriannya menyebabkannya ia akan ragu terhadap dirinya serta kurang yakin dengan kemampuannya sekaligus mengakibatkan berkurangnya keyakinan kepada orang lain. Anak-anak akan bersifat malu dan merasa serba kekurangan.

                    Keupayaan anak-anak untuk mandiri serta merasakan kewujudan dirinya yang tersendiri cukup penting dalam peringkat ini. Dalam tahap inilah berkembangnya sifat-sifat personal seperti sayang, benci, ego serta kebebasan untuk mengungkap perasaan. Dalam peringkat umur 3 hingga 6 tahun kanak-kanak tersebut terus mengembangkan kemandirian dengan kegiatan yang lebih meluas; di mana mereka lebih aktif bergerak, mempunyai tahap prihatin yang lebih tinggi, banyak bertanya dan bercakap. Ibu bapa dan pengasuh wajar mengarahkan kanak-kanak dengan bijak agar mereka memperoleh kemahiran-kemahiran mengatur dan menyusun sesuatu sehingga kanak-kanak berjaya melaksanakannya. Layanan yang kasar serta kekerasan yang berlebihan boleh menjejaskan jiwa, mental dan fizikal kanak-kanak.

                   Ibu bapa tidak wajar menganggap kanak-kanak pada peringkat ini seperti orang tua dalam erti kata meletakkan tanggungjawab moral dan akhlak terhadap perbuatan dan reaksinya kerana kanak-kanak masih belum mampu membezakan dengan tepat dan memahami sesuatu. Mereka hendaklah dikasihi, diperlakukan secara lemah lembut dan sikap toleransi. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah menunjukkan sifat-sifat yang demikian. Abu Qatabah meriwayatkan “ pada suatu hari Nabi keluar menemui kami. Beliau mendokong Umamah Abu ‘Asr. Beliau bersembahyang sambil mendokong Umamah, apabila Baginda ruku’, beliau meletakkan dan apabila ia bangun ia dukung semula Umamah. Hadis ini membayangkan betapa kasihnya Rasulullah kepada cucunya.Beliau tidak memperlakukannya sebagai manusia yang mengerti segala-galanya.Beliau membenarkan anak tersebut bersamanya ketika sembahyang walhal sembahyang itu adalah ibadah yang suci dalam Islam.

                  Pada peringkat  pertengahan pula, kanak-kanak mula memperluas arena hubungan sosial dan pergaulannya dengan orang lain yang sekampung atau sesekolah atau juga rakan sebaya dengannya. Kanak-kanak mula menyesuaikan diri dengan situasi dan kondisi baru dalam hidupnya. Ia mula membezakan perbuatan dan jenis-jenis tindak tanduk yang disukai oleh orang lain atau sebaliknya. Ia gembira jika orang lain puas dengan perbuatannya. Sebaliknya ia kecewa, menyesal jika orang lain marah kepadanya. Ini adalah permulaannya yang betul bagi proses pembentukan akhlak yang luhur.

                    Perkembangan akhlak yang positif ini menyebabkan kanak-kanak selalu berusaha untuk menyelaraskan antara kehendak dirinya dengan kehendak orang lain. Antara kecenderungan dan motivasi dengan nilai agama, akhlak, tradisi, guru, peraturan dan undang-undang. Dalam peringkat ini terteralah  kesedaran tentang  tanggungjawab akhlak dalam diri kanak-kanak sehingga ia mencapai tahap perkembangan akhlak yang ke-3. Dalam peringkat ini ibu bapa dan guru perlu perihatin kepada kecendurangan ini dan amat perlu diarahkan secara yang bijaksana sehingga kanak-kanak dapat memperolehi model yang utama (role model) di samping mengembangkan kearah nilai-nilai kebaikan.

                  Pada peringkat ketiga, Perkembangan akhlak pada masa ini mula berakar dan mantap. Fizikal kanak-kanak mula berkembang dan membesar. Perkembangan ini diikuti oleh perkembangan sosioemosinya di mana anak tersebut mula memperolehi keperibadiannya yang unik. Ia mula merasakan ‘sense of belonging‘ kepada kelompok yang lebih besar. Peringkat ini adalah peringkat yang amat komplikated (rumit) dan ia disertai oleh pengalaman-pengelaman baru serta peranan dan peluang-peluang yang baru. Menyerlahnya dorongan kejantinaan semakin merumitkan hubungannya dengan orang lain. Keupayaan fizikalnya semakin kukuh dan mencapah. Tanggungjawab persekolahan ikut bertambah, disiplin hidupnya mula terbentuk.

               Kanak-kanak mula berubah menjadi manusia yang berupaya mengawal kehendak nalurinya. Ia mula menundukkan diri kepada contoh utama yang telah terserap jauh dalam batinnya. Ia menjadikan contoh utama tersebut sebagai kriteria dalam tingkah laku dan situasi yang bersifat moral. Ia akan beriltizam dengan saranan-saranan dan contoh yang ditunjukkan sama ada wujud dalam bentuk undang-undang, sistem, adat dan budaya sosial atau ketiadaannya.
                 Kesempurnaan perkembangan akhlak berkaitan dengan kesempurnaan perkembangan akal, kejiwaan dan sosial. Huzaifah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda : “Janganlah kalian menjadi pak turut. Kalian menyatakan kalau orang lain buat baik kalian buat baik. Kalau mereka jahat kalian buat jahat. Akan tetapi mantapkanlah pendirian kalian. Jika orang baik kalian wajar berbuat baik. Jika mereka melakukan kejahatan janganlah pula kalian melakukan.
             Antara cara untuk mengatasi masalah terhadap keruntuhan institusi kekeluargaan dalam Islam ialah, Latihan Amali Dan Amalan-Amalan Menjernihkan Batin

              Pendidikan akhlak tidak hanya melalui penjelasan mengenai nilai-nilai akhlak kepada masyarakat di mana mereka boleh memilih dan menghargai nilai-nilai tersebut tetapi juga pendidikan akhlak boleh dibuat berdasarkan latih tubi, perlaksanaan atau penghayatan yang berterusan umpamanya. Walaupun di peringkat awal ia dilaksanakan kerana arahan atau tekanan dari luar, namun lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan tabiat. Manusia sememangnya berupaya memperolehi akhlak atau sifat yang mulia melalui pendekatan ini. Rasulullah s.a.w. bersabda ( maksudnya ) :

“Suruhlah anak kalian bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya ketika umur mereka ( menjangkau ) sepuluh tahun.

            Seandainya sembahyang boleh dibiasakan sejak dari kecil , maka puasa, zikir dan tilawatul Qur’an pun boleh diamalkan sejak dari kecil dan secara berterusan; sehingga menjadi amalan yang lazim dan budaya hidup. Amalan amalan ini pastinya lambat-laun akan menjadi adat atau kebiasaan seseorang.

            Selain itu, Meletakkan Diri Dalam Lingkungan Persekitaran Yang Soleh. Persekitaran sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkum  tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Manusia memang sering terpengaruh kepada persekitarannya; dengan cara meniru serta mencontohi figure yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya, perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya. Dalam kontek menegaskan kesan lingkungan ini Allah SWT berfirman:
Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur.”
Surah al ‘Araf, ayat 58.
                                                                                                                                                                                       

           Tekanan Sosial Dari Masyarakat Islam antara mekanisme yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka melaksanakan tata kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak yang besar dan pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan disanjung. Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai sense of belonging kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui perlaksanaan amal mak’ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar, maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.

            Selain itu, peranan Media massa merupakan satu mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan sahsiah umat khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas dari cengkaman faham sekularisme, budaya komersial yang melampau, faham kebendaan dan dorongan untuk hidup secara mewah dan berpoya-poya. Media massa hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media massa hendaklah meningkatkan rasa akauntabiliti, tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk memihak dan menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan sebagainya.
              Para pengguna media massa terutama golongan yang bertanggungjawab seperti ibubapa, guru, pemimpin politik dan pentadbir hendaklah lebih bijaksana dalam mengarah, membimbing, meningkatkan rasionaliti, kematangan dan kewaspadaan serta keupayaan memilih siaran yang lebih bermanfaat untuk ditontoni oleh anak-anak atau orang-orang yang di bawah jagaan mereka. Media massa juga sebenarnya boleh menjadi wahana “cultural domination dan imperialisme” melalui berbagai saluran teknologi maklumat yang canggih seperti internet, multimedia dan sebagainya.
             Dapat disimpulkan, Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Ia tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusian yang tinggi. Ia harus bermula dengan melahirkan para pemimpin umat yang berakhlak, beriman dan bertakwa. Pemimpin yang mempunyai iltizam yang tidak berbelah bagi kepada set-set nilai akhlak Islam, mempunyai kerohanian yang amat tinggi, mewarisi ciri perjuangan Rasulullah yang diutus untuk membangun akhlak dan keluhuran akan beroleh kedudukan dalam pemerintahan lantas memastikan semua umat menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar, menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah. Mereka menguatkuasakan sistem hidup Islam yang memang membela akhlak. Mereka melaksanakan undang-undang Allah yang sebenarnya memang melindungi nilai dan norma akhlak dalam masyarakat.

                 Dengan adanya pemimpin yang soleh dan bertakwa seluruh agen sosialisasi dan jentera kerajaan akan menghala ke arah yang sama. Rakyat akan terbentuk oleh media yang beretika dan berakhlak. Pengaruh luar yang buruk akan disekat samada dalam rancangan tv, filem, internet maupun apa jua pengaruh lain yang mengancam jatidiri dan maruah umat. Dasar-dasar kementerian dan agensi pembangunan masyarakat akan selaras dengan tuntutan nilai dan tatanan akhlak. Tidak berlaku proses pertentangan antara kerja membangun dan merosak akhlak serentak dalam jentera-jentera berkenaan.

                 Agenda-agenda khusus menangani gejala keruntuhan dan kemorosatan akhlak akan disusun dengan lebih berkesan dan menyeluruh. Segala-galanya akan dimanfaatkan dalam menjana kekuatan untuk meningkatkan mertabat umat dalam segala bidang.Kebenaran keadilan dan ihsan akan didaulatkan . Manusia diasuh kembali menjadi hamba Allah yang ta’at dan bukan hamba benda, wang, pembangunan, bangsa atau negara. Semoga semua langkah-langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu mengatasi masalah keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa, khasnya di kalangan remaja kita dewasa ini.

1)      Buku
-          Abdullah Nasih Ulwan, (1997). Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam,( Jilid 2 ), Syed          Ahmad Semait (penterjemah) Singapura, Pustaka National
-          Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah. Persoalan Islam Dan Isu Semasa
-          Siti Fatimah Abdul Rahman dan Hamiza Ibrahim ( 1994 ), ISLAM: Penyelesaian Permasalahan Zaman Moden ( Jilid 3)

2)      Artikel Majalah
-          Nik Azis Nik Pa, (2002). Keluarga Berdaya Maju, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
-          Leha @ Zaleha Muhamat, (2005). “Wanita: Model Ibu Mithali”, Kertas Kerja Seminar Wanita
-          Rencana,(May,2010)
-      Kebaijkan Masyarakat 2000-2004 (kes juvana mengikut negeri)

3)      Artikel Surat Khabar
-          Awang Had Salleh, (1996). ‘Masyarakat Melayu Dalam Pendidikan Dan Sosiobudaya”, Jurnal Pemikir, Julai-September, Kuala Lumpur: Utusan Publications.

.


Wednesday, November 10, 2010

Pemaaf : Mulia Di Dunia, Mulia Di Akhira

Dan tidaklah sama kesannya dan hukumnya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang ditunjukkan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah sahabat karibmu.
(Surah Fushilaat : 34)
Islam menuntut umatnya menjadi seorang pemaaf
Seorang sahabat yang telah melakukan kesalahan telah mengatakan kepada sahabatnya,

“Aku memohon maaf kepadamu kerana kata-kata itu.”
Sahabatnya seraya berkata,

“Tidak mengapa ya saudaraku, aku memberi maaf apasahaja kesalahanmu, kerana hakikatnya manusia memang memerlukan kemaafan lantaran ketidaksempurnaannya. Tiada sebab untuk aku menahan kemaafan kepadamu.

Maka, sahabat yang tadi berkata pula,

“Terima kasih ya saudaraku, begitu jugalah aku memaafkan segala kesalahanmu terhadapku.”
Mulia Seorang Pemaaf
Rasulullah s.a.w bersabda :
Wahai Uqbah mahukah engkau aku beritahu akhlak bagi penghuni dunia dan penghuni akhirat yang paling mulia? (mereka) ialah ;
  1. Menyambung silaturrahim dengan orang yang memutuskannya
  2. Memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu
  3. Memafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayaimu
Begitu indah dan tenangnya tatkala memberi kemaafan. Ketenangan itu akan menyusup masuk ke seluruh urat nadi sehingga ke hati orang yang beriman.  Meskipun, adakalanya, kemaafan sukar dilepaskan kerana luka dihati masih terkesan.   Tetapi ajaibnya, ketenangan akan serta merta hadir sebaik sahaja ucapan ‘‘kamu diberi maaf”.  Itulah hidayah Allah SWT.
Tetapi, janganlah melepaskan maaf dengan bersyarat atau memaafkan kesalahan sesorang ibarat menegakkan besi yang bengkok.  Bukankah apabila menegakkan besi yang bengkok, kesan bengkokan pada besi tetap ada?  Sebaliknya, berilah kemaafan ibarat menukar kain yang kotor kepada kain yang baru.

Can forgive, can’t forget - Istilah paling tepat untuk menghuraikan bidalan menegakkan besi yang bengkok.

Can forgive, let’s forget
– Istilah yang paling sesuai untuk bidalan menggantikan kain yang kotor kepada kain yang baru.

‘Maaf’ Bukan Alasan Berlepas Diri.

Islam adalah agama yang mementingkan kesejahteraan dan kedamaian. Untuk mencapai tujuan tersebut, Islam memberi garis panduan kepada umatnya tentang adab dan etika ketika pergaulan, antaranya ialah, menjadi seorang pemaaf. Hal ini diabadikan di dalam Al Quran, sebagaimana firman Allah SWT :
Dalam pada itu ingatlah orang yang bersabar dan memaafkan kesalahan orang terhadapnya, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
(As Syuraa : 43)
Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.
(Surah Al A’raf : 199)
Manusia pasti tidak boleh lari daripada kesilapan.
Itu adalah haqiqat.
Sesuai dengan fitrahnya yang tidak sempurna. Namun begitu, ‘maaf’ bukanlah alasan untuk berlepas diri daripada kesilapan. Sebaliknya, ‘maaf’ perlu dibawa bersama gagasan transformasi ke arah yang lebih baik. Tidak mengulangi dan menghindari daripada kesilapan yang sama. Jika ucapan ‘aku minta maaf’ tidak dihayati sebagai  batu sempadan bagi setiap kesilapan, maka, ia akan mewujudkan permohonan maaf yang tidak ikhlas sifatnya. Tiada keikhlasan menjadikan permohonan maaf itu bersifat kosong dan bukannya menjadi tarbiah bagi si pelaku salah. Kesannya, kesalahan atau kesilapan yang serupa akan dilakukan juga.
Kita perlu sedari bahawa, permohonan maaf bukanlah senjata tersembunyi untuk menutup kelemahan diri.  Sebaliknya ia perlu sebagai penghubung silaturrahim dan menjadi ibrah bagi menghadapi cabaran hidup yang akan kita lalui seterusnya. Ambilah contoh teladan sifat pemaaf Rasulullah s.a.w, bagaimana dengan hanya sifat lembut dan sifat pemaaf, baginda dapat menakluki seluruh pelusuk dunia sehingga Islam berkembang hingga kini.
Yahudi Hadiah Daging Beracun Kepada Baginda.
Dari Imam Abu Daud dari Jabir bin Abdullah, diriwayatkan bahawa seorang perempuan yahudi telah menghadiahkan Rasulullah S.a.w daging kambing yang sudah dimasak. Hadiah tersebut diterima oleh Rasulullah tanpa menyedari daging kambing tersebut telah diracuni. Namun sebaik sahaja baginda mengunyahnya untuk memakan daging tersebut, baginda terus memuntahkannya kerana baginda mengetahui bahawa daging tersebut mengandungi racun. Walaupun perbuatan perempuan yahudi itu membahayakan baginda, tetapi baginda tidaklah menjatuhkan hukuman kepadanya, sebaliknya memberi kemaafan kepadanya.
Hubar bin Al-Aswad Memanah Unta Milik Puteri Rasulullah s.a.w
Hubar bin Al Aswad
Seorang yang amat memusuhi Islam dan banyak menyakiti hati kaum muslimin dan pernah menyakiti puteri Rasulullah S.a.w, Zainab r.a.
Kisah ini terjadi apabila unta yang dinaiki oleh Zainab r.a dalam perjalanan ke Madinah dipanah oleh Hubar sehingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati.  Diriwayatkan pada ketika itu, Zainab r.a pada sedang sarat mengandung.  Dia terhumban dari atas unta menyebabkan kandungannya gugur. Namun setelah peristiwa pembukaan Mekah, Hubar menemui Rasulullah S.a.w untuk memohon maaf daripada baginda dan baginda memaafkannya. Hubar kemudiannya melafazkan syahadah dan menjadi penganut Islam.
MasyaAllah, betapa agungnya peribadi baginda. Maka, siapa lagi role model yang perlu kita jadikan ikutan? Sudah tentu baginda!  Semoga, kita menjadi seorang yang pemaaf.
Seseorang yang mulia ialah, apabila memberi kemaafan kepada saudaranya yang berbuat kesalahan kepadanya.
Seseorang itu lagi mulia, apabila memberi kemaafan dan meredhai (melupakan kesalahan)  saudaranya.
Sesorang itu tersangatlah mulia jika memberi kemaafan, meredhai saudaranya dan memperbaiki kekurangan yang ada pada dirinya sendiri.
Wallahu’alam
 Kata hikmat Keindahan.
 Untuk merasakan keindahan,bacalah susunan syair yang indah-indah,buku-buku yang berfaedah,tentu timbul kerinduan untuk berkenalan dengan pengarangnya.
Memerhatikan keindahan alam itu menambah harga diri.
Hasad dengki menghilangkan keindahan,baik keindahan badan,keindahan jiwa ataupun keindahan akal.Bahkan keindahan wajah pun mampu dihilangkannya.
Alangkah indahnya jika dunia dan agama berkumpul menjadi satu dan alangkah buruknya jika kafir dan derhaka bergabung dalam diri seseorang.
Letak keindahan bukan pada ejekannya,tetapi pada cara dia mengejek.
Bacaan Al-Quran dengan lagu yang indah,suara yang merdu ,menunjukkan dalam agama pun ada seni suara.
Allah amat ingin agar hambanya memperlihatkan bekas nikmatnya atas dirinya.
Perhiasan timbul dariapda kerinduan terhadap yang indah.Bunga yang mekar di atas meja,kerusi yang bagus,semuanya seiring dengan kemajuan otak dan jiwa.
Berhiaslah ketika ke masjid.Tandanya berhias itu dilarang bahkan dianjurkan.Tetapi jangan berlebih-lebihan.
Seni adalah tiruan daripada keindahan dan sumber keindahan ialah Allah yang dapat disaksikan bekasnya di dalam alam ini,dipandang dan direnung oleh hati sanubari yang fana di dalam cinta dan baqa lantaran makrifat.
Sesungguhnya Allah itu indah,suka akan keindahan.
Perhiasan adalah barang indah.Orang tidak boleh berhias dengan barang yang buruk.
Sikap yang kasar adalah lantaran jiwa yang ksar,jiwa yang tidak mengenal keindahan.
Jika seseorang tidak dikuasai oleh perasaan benci,setiap pakaian yang dipakainya kelihatan indah.